December 8, 2008

Daddy, Ayah, Bapa, Abah, Ayahanda.

Rahsia Jadi Ayah Berkesan

BEBERAPA kajian menunjukkan bahawa kehadiran ayah menyumbang terhadap kejayaan anak dalam setiap fasa kehidupan mereka. Kajian itu disimpulkan dalam Father Facts, Edisi Ketiga (1998), antaranya: Bayi yang mempunyai ayah yang selalu bersama-sama anaknya di lapan minggu pertama, lebih berkemampuan menangani tekanan di alam persekolahan.Anak yang rapat dengan ayahnya pada zaman kanak-kanak menjadi ejen ‘penyelesai masalah’ yang baik apabila dewasa berbanding kanak-kanak yang tidak dipedulikan oleh ayahnya.

Apabila anak lelaki dan perempuan dididik dan dibelai oleh ayahnya serta sentiasa di sampingnya, sikap mereka apabila dewasa menjadi lebih berinisiatif dan mampu mengawal diri.Kanak-kanak yang mempunyai hubungan rapat dengan ayahnya ketika zaman tumbesarannya akan menjadi seorang remaja dan orang dewasa yang seimbang.

Anak yang tidak berbapa.
Kajian menunjukkan kekosongan daripada belaian kasih ayah mempunyai hubungan rapat dengan pelbagai permasalahan gejala sosial dan prestasi pembelajaran anak-anak.

Anak yang tidak tinggal dengan ayahnya menunjukkan gejala seperti di bawah:

Lima kali lebih teruk prestasi pembelajaran.
Tiga kali lebih ramai yang mengandung tanpa nikah.
Lebih 50 peratus kemungkinan keciciran dalam pembelajaran, terbabit dengan gangsterism, penyalahgunaan dadah dan jenayah juvana.(Sumber: Pusat Kebapaan Kebangsaan)

Enam rahsia menjadi ayah yang berkesan.

Ramai lelaki terbilang berjaya dan berbangga kerana menjadi seorang ayah cemerlang dan berkesan. Menurut kajian Dr Ken Canfield, pengasas dan juga Presiden Pusat Kebapaan Kebangsaan dalam penyelidikannya mengenai ‘kebapaan’ ada enam rahsia menjadi ayah yang berkesan:

- Bapa yang komited dan bertanggungjawab.

Jalankan tugas bapa dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab. Kenal pasti apakah tugas anda sebagai bapa dalam rumah tangga. Tunjukkan dan beritahu anak bahawa anda juga ada tugas dalam rumah tangga, disamping ibu mereka. Anda bukan hanya bertugas di luar. Sekali-sekala berikan mereka peluang untuk mengutarakan pandangan atau menegur anda jika terlupa atau terlalai melakukan tugas anda di rumah. Selalu memeriksa dan memantau apakah anda telah melaksanakan tugas di rumah. Bayangkan ‘hadiah’ atau ‘anugerah’ yang bakal didapati (sama ada di dunia atau akhirat) jika anda menjadi ayah cemerlang!

- Kenali anak anda.

Ambil masa untuk mengenali secara khusus keunikan dan kualiti anak anda. Libatkan diri dalam dunia mereka, hadiah yang mereka sukai, ketakutan, kekecewaan malah impian dan cita-cita mereka. Cuba ingatkan semua nama kawan mereka serta pembawaan masing masing.Kenal pasti apa yang selalu mengecewakan, ditakuti, dibenci, paling memalukan serta yang boleh memberi motivasi dan perangsang kepada merekal Istiqamah (tetap pendirian) .

Apabila anak tahu apa yang bapa mahukan, mereka akan lebih berasa yakin serta boleh menyesuaikannya dengan kehendak anda. Jadi, istiqamah, tetap pendirian serta konsisten.

Ada enam tempat anda perlu konsisten iaitu hadkan perubahan mood (jangan terlalu mengikuti perasaan); sentiasa ada di rumah (selalu menghadirkan diri dalam acara kekeluargaan); kotakan apa yang dikata, bukan cakap tidak serupa bikin; sentiasa menjaga moral dan adab sopan; mempunyai atur cara kehidupan teratur serta ada hobi dan kegemaran baik yang boleh dilihat dan diikuti.

- Melindungi, menyara dan mendoakan.

Sediakan suasana dan rasa selamat dalam rumah dengan memberikan respon yang positif setiap kali berlaku krisis dan permasalahan dalam rumah. Paling penting anda memberikan saraan yang cukup kepada mereka. Bapa tidak boleh menghalang berlakunya krisis, tetapi tindakan anda ketika berlaku krisis dan mengembalikan suasana normal, sebenarnya ‘mengajar’ anak menangani krisis. Jangan lupa doakan untuk anak selepas solat.

- Mencintai ibu mereka.

Zahirkan cinta anda kepada isteri anda di depan anak untuk menunjukkan satu hubungan suami isteri yang intim dan bermakna. Jadikan diri anda sebagai anggota dalam pasukan ‘keibubapaan’, bukan hanya ibu. Inilah langkah dan hadiah terbaik untuk anak. Dalam jangka panjang, anak mendapat manfaat yang sangat bernilai daripada hubungan ibu bapa yang hormat menghormati, bekerjasama dan berkasih sayang.

- Menjadi pendengar yang baik.

Sedarlah bahawa anak mudah tersesat atau terpesong dalam arus dunia. Dengar apa yang mereka katakan dan apa yang tidak terluahkan. Tunjukkan kepada mereka bahwa mereka ‘berhak’ untuk didengari dan diberi perhatian.

- Jadikan diri anda ‘pemimpin’ kerohanian.

Beri peluang anak anda mengenali Allah dengan menunjukkan ‘keimanan’ dan amal harian anda yang selari dengan tuntutan agama. Bersolat bersama-sama dan jadi imam dalam solat lima waktu di rumah. Bawalah mereka bersama-sama menunaikan solat berjemaah di masjid. Selalu bercerita mengenai makhluk yang dicintai Allah di bumi dan langit.



p/s : Just an info for the day! :)

No comments:

~Our Little Family~